Information dari UTUSAN
Soalan
Sayamerancang
untuk mendirikan rumah tangga tidak lama lagi. Pasangan saya adalah
warga Pakistan yang telah tiga tahun menetap di Malaysia. Apakah
prosedur yang perlu dilakukan untuk melangsungkan perkahwinan. Adakah
pasangan saya perlu mengikuti kursus praperkahwinan?
Irma, Ampang
Jawapan
Perkahwinan di antara rakyat Malaysia dan warga asing atau di antara
dua warga asing adalah boleh dan dibenarkan untuk dilakukan di Malaysia.
Bagi perkahwinan di antara rakyat Malaysia dan warganegara asing,
prosedur yang harus diikuti adalah berlainan daripada prosedur
perkahwinan di antara sesama rakyat Malaysia.
Secara amnya apabila warga asing dan rakyat Malaysia ingin berkahwin,
mereka wajib untuk memohon kebenaran berkahwin dari Jabatan Agama.
Borang permohonan perkahwinan haruslah disertakan dengan dokumen-dokumen
berikut:
l Salinan pasport atau salinan kad pengenalan (lelaki dan perempuan);
l Surat kebenaran dari kedutaan negara pemohon (bagi kes saudari, Kedutaan Pakistan);
l Surat keterangan dari Jabatan Imigresen Malaysia;
l Surat Akuan Cerai atau Surat Akuan Kematian (jika pernah berkahwin atau kematian pasangan sebelumnya);
l Surat Kebenaran Poligami dari Mahkamah Syariah di Malaysia (jika berpoligami);
l Surat wakalah wali (bagi wanita); dan
l Salinan Sijil Kursus Perkahwinan.
Borang permohonan dan dokumen-dokumen ini haruslah dikemukakan kepada
Penolong Pendaftar Nikah Kariah di mana saudari bermastautin. Ini
adalah untuk mendapatkan kelulusan bernikah dari Pendaftar Nikah.
Permohonan ini haruslah diserahkan dalam tempoh sebulan atau tidak
kurang dari tujuh hari sebelum tarikh perkahwinan yang dirancang. Adalah
dinasihatkan untuk melakukan persediaan awal bagi mengelakkan sebarang
kesulitan.
Sekiranya bakal suami saudari adalah penduduk tetap negara ini atau
pemegang Kad Pengenalan Merah, dokumen yang lain harus disertakan iaitu:
l Salinan Kad Pengenalan Merah dan permit masuk; dan
l Surat Pengesahan dari Jabatan Pendaftaran Negara atau pengesahan permit masuk dari Jabatan Imigresen.
Kedua-dua situasi di atas adalah bagi warga asing yang mempunyai pas
masuk secara sosial atau perniagaan. Situasi adalah berbeza bagi warga
asing yang dibenarkan masuk ke negara ini melalui permit pekerjaan.
Perlu dimaklumkan bahawa warga asing yang memegang permit kerja
adalah tidak dibenarkan memohon untuk berkahwin di negara ini. Sekiranya
perkahwinan ini berlangsung dengan tidak mematuhi undang-undang, maka
ia akan memberi implikasi kepada permit kerja yang telah diberi
kepadanya.
Ini adalah berdasarkan kepada kontrak yang telah dipersetujui dan
ditandatangani. Sekiranya warga asing tersebut mahu berkahwin dengan
wanita tempatan, kontrak atau permit kerja pekerja asing tersebut di
Malaysia adalah terbatal.
Kemudian warga asing tersebut perlu pulang ke negara asal untuk tempoh enam bulan (cooling period) dan sepanjang tempoh tersebut warga asing tersebut hanya diberikan pas sementara (pas lawatan) yang tidak akan dilanjutkan.
Selepas tempoh enam bulan tersebut barulah warga asing tersebut boleh
mendaftar di imigresen untuk mendaftar sebagai suami kepada
warganegara.
Untuk pengetahuan saudari, satu pekeliling telah dikeluarkan oleh
Jabatan Imigresen di mana suami/isteri kepada warganegara Malaysia yang
telah diberikan/layak diberikan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang
berdasarkan syarat-syarat dan peraturan-peraturan semasa yang sedang
berkuatkuasa adalah dibenarkan untuk bekerja (melakukan pekerjaan
berbayar), berniaga dan pekerjaan profesional tanpa perlu menukar status
Pas Lawatan Sosial mereka kepada pas kerja yang berkaitan (Pas
Penggajian / Pas Lawatan Kerja Sementara).
Berkenaan dengan kursus pra perkahwinan, warga asing tidak diwajibkan
mengikutinya. Walau bagaimanapun jika kursus pra perkahwinan diadakan
dalam bahasa yang boleh difahami oleh bakal suami saudari, digalakkan
untuk menyertainya.
Diharap penjelasan ini dapat membantu saudari, jika terdapat sebarang
kemusykilan boleh menghubungi pihak kami atau layari laman web Sisters
di www.sistersinislam.org.my
No comments:
Post a Comment